…dan aku naik saksi bahwa Nabi Muhammad itu tidak patriarkis…
Helen Keller (1880-1968) pernah menulis, ‘Some persons like to imagine that man’s chivalrous nature will constrain him to act humanely toward woman and protect her rights. Some men do protect some women. We demand that all women have the right to protect themselves and relieve man of this feudal responsibility.’ (Keller, 1913). Bukan tujuan saya untuk cuba memikul atau menjalankan ‘tanggungjawab feudal’ seperti yang disebutkan Helen Keller. Dalam tulisannya yang terdahulu, beliau juga pernah menyatakan, ‘the enfranchisement of women is a part of the vast movement to enfranchise all mankind.’ (Keller, 1911)
Oleh itu, saya lebih cenderung pada melihat warkah singkat ini hanya sebagai satu usaha kecil daripada upaya gerakan yang lebih besar untuk mengedepankan suara atau pandangan yang menentang serta mempersoalkan suatu pemahaman atau ideologi yang kuno namun kian ketara kebelakangan ini. Ideologi tersebut, dengan manifestasinya yang terus menindas golongan yang dianggap lebih lemah atau inferior, tidak mengambil kira atau menghiraukan tentang hal-hal keadilan sosial serta hak asasi manusia. Malahan ia akan terus berupaya menyekat pengaliran gagasan yang bersifat progresif mahupun setiap usaha emansipatoris yang membolehkan golongan yang tertindas bangkit dan membangun kesadaran kritis. Salah satu penampilan yang dapat kita perhatikan dari ideologi ini ialah sifat cauvinis dan patriarkis, yang pada dasarnya melihat kaum lelaki sebagai superior lantas mempunyai hak serta kekuasaan (authority) yang mutlak bagi menguasai nasib dan kehidupan kaum manusia yang lain, terutama wanita dan anak-anak. Mereka yang tasawurnya (worldview) berlandaskan ideologi parokial sebegini akan menghembuskan pandangan-pandangan yang pada akhir matlamatnya (ultimate aim) menjurus kepada domestikasi serta penguasaan yang mutlak (absolute), secara langsung membawa kepada penumpulan akal fikiran serta pembunuhan jiwa orang yang dikuasai.
Sebagai contoh, di ruang akhbar baru-baru ini, kita terbaca beberapa komentar yang secara terbuka melontarkan pandangan yang menentang hebat usaha-usaha baru untuk menggembleng tenaga kaum wanita di ruang publik. Dengan nada tulisan yang penuh angkuh dan sinis, penulis-penulis komentar tersebut seakan sebulat suara menyatakan ketidakpantasan kaum wanita dalam menonjolkan diri mereka dengan lebih ketara apabila melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat atau mengambil alih jawatan atau kedudukan yang selama ini disandang oleh kaum lelaki. Pada pandangan mereka, penonjolan sedemikian akan mendatangkan lebih banyak fitnah, maka adalah lebih baik jika kaum wanita duduk sahaja di rumah. Demikian saranan yang diajukan oleh wartawan satu-satunya akhbar Melayu kita, yang juga sering menulis tentang hal ehwal masyarakat Melayu-Islam di Singapura. Secara rumusan, wartawan tersebut ingin mengingatkan kaum wanita supaya tidak lupa tempat mereka. Dengan penuh sinis, beliau menyatakan: ‘Tempat utama wanita tetap di rumah. Itu bukan cakap saya, Cik Joyah, tapi Nabi.’
Melalui ungkapan ini, kita dapat melihat dengan jelas upaya penulis untuk mematahkan semangat serta memincangkan segala upaya mahupun gagasan progresif yang membuka ruang buat kaum wanita bergiat sama dalam gelanggang sosial. Bukan sahaja beliau menggunakan media awam seperti akhbar untuk melontarkan pandangan beliau, bahkan menyandarkan legitimasi pandangan tersebut pada otoritas agama yang tertinggi yakni Nabi. Selanjutnya lagi, seolah-olah dilantik resmi sebagai juru bicara yang mewakili sekalian umat Islam serta pengawas (custodian) kaum wanita, beliau menambah, ‘Kalau kaum Muslimah ingin diiktiraf, kenalah ikuti semua syaratnya. Kalau terjun biar basah sekali. Barulah muncul Muslimah sejati dan disegani. Ini termasuklah menjaga aurat, tidak tabaruj dan menghormati poligami. Tidak bolehlah pilih-pilih anjuran agama ikut suka hati.’
Di sini kita dapat menyaksikan bahawa apabila media awam seperti akhbar dikuasai oleh puak intelligensia yang tidak berfungsi, akibatnya fahaman bermasalah seperti ideologi cauvinis dan feudal tersebar luas lantas meresapi akar pemikiran masyarakat. Oleh itu, tatkala muncul masalah di kalangan masyarakat sendiri, usahlah sewenangnya kita menuding jari dan mengatakan orang kita mempunyai masalah minda (mindset problem). Selagi agensi-agensi seperti akhbar, yang mempunyai daya pengaruh besar dalam membangun minda dan pemikiran masyarakat, masih menyebarkan sampah sebegini, semakin curam pendakian kita ke arah masyarakat yang progresif.
Beberapa contoh dari pengalaman peribadi serta pengamatan saya sendiri barangkali akan dapat memperkukuhkan lagi masalah yang ingin saya maksudkan di atas. Pada suatu ketika di sebuah warong kopi, saya sedang duduk berbual santai bersama seorang teman yang kian lama tidak bersua. Banyak perkara yang diperbualkan, termasuk cerita-cerita lama di zaman persekolahan, hal-hal berkaitan pekerjaan masing-masing, hinggalah khabar keluarga dan anak-anak. Seperti saya, beliau juga mempunyai dua anak perempuan yang lebih kurang sebaya dengan kedua anak-anak perempuan saya. Sedang kami membicarakan tentang hal persekolahan serta masa depan anak-anak, dengan nada risau dan pilu, beliau menyatakan, ‘Peluang kita untuk menjaga dan mendidik anak-anak kita amat singkat. Lebih-lebih lagi mereka itu perempuan. Apabila mereka sudah berumah-tangga kelak, mereka akan menjadi hak suami masing-masing. Mereka harus dengar dan patuh pada suami mereka, bukan pada kita lagi.’ Saya hanya mendengar keluhan beliau, sebelum memberi pendapat saya yang ternyata berlainan malah bertentangan dengan apa yang beliau baru luahkan. Saya mempersoalkan pandangan beliau yang menyatakan seorang perempuan harus dengar dan patuh pada suaminya saat menjadi seorang isteri. Dengan wajah yang ragu, beliau menyela, ‘Tapi, bukankah itu perintah agama?’
Walaupun saya sangat tidak bersetuju dengan pandangan teman saya, namun saya tidak mempersalahkan beliau. Saya mengenali beliau sebagai seorang suami dan bapa yang amat penyayang terhadap isteri dan anak-anak. Malah saya percaya ramai di antara kaum suami dan bapa dalam masyarakat kita yang bersifat penyayang terhadap keluarga masing-masing. Amat senang untuk saya menyatakan yang kita tidak hidup di dalam sebuah masyarakat yang sadis di mana kaum lelaki sewenang-wenang memukul bantai isteri dan anak-anak. Malahan setiap kali dilaporkan berita tentang kejadian keganasan atau penderaan terhadap isteri atau anak-anak, pada umumnya hanya satu reaksi yang akan dapat dirasakan di kalangan masyarakat kita, iaitu marah serta geram. Hampir setiap orang akan menyatakan si pendera harus diberi hukuman setimpal atas kesalahan yang perlakukan. Oleh itu, memang wajar untuk kita mengatakan masyarakat kita ini satu masyarakat yang penyayang, yang lantas akan bangkit dengan penuh kemarahan menentang kekejaman dan kezaliman.
Apa yang ingin saya mempermasalahkan ialah, di sebalik sifat penyayang tersebut, tersembunyi satu ketidaksadaran (subconsciousness) yang terpendam kian dalam di lubuk hati dan sanubari si penyayang. Ketidaksadaran tersebut, yang dibentuk dan didorong oleh pengaruh luaran seperti struktur serta kondisi sosial, lingkungan hidup dan juga penyebaran pengetahuan dalam segala bentuk informasi dari media termasuk akhbar, tidak akan dapat dikesan di tingkatan sadar (conscious level) dari segi perbualan mahupun perbuatan. Malah, apa yang diucap dan diperlakukan di tingkatan sadar seringkali bertentangan dengan apa yang terpendam di tingkatan tidaksadar (subconscious level).
Misalnya, sebuah struktur sosial yang bias jender (gender-biased), yang cenderung kepada mengakui kuasa dan kekuasaan (power and authority) sebagai hak dan milik hanya satu jender, baik lelaki mahupun perempuan, lebih berkemungkinan akan membiakkan individu-individu yang berfikiran sedemikian. Sebagai contoh, sebuah negara yang dikuasai oleh pemerintahan yang berasaskan prinsip patriarki akan membentuk serta menjalankan dasar-dasar negara yang mendiskriminasi dan menindas kaum wanita. Dasar-dasar tersebut, jika tidak dipersoalkan dalam jangka masa yang panjang, pada gilirannya akan meresapi akar pemikiran masyarakat lantas membuahkan warga-warga negara yang berfikiran patriarkis, meskipun hadir di tingkatan tidaksadar, pada setiap lapisan masyarakat, tidak kira yang kaya ataupun yang miskin, tua atau muda. Barangsiapa yang menentang atau mempersoalkan fahaman atau pendirian tersebut akan dianggap pengkhianat atau pemberontak (rebel) lantas disingkir sebagai seorang yang tidak sehaluan dengan masyarakat. Di dalam buku beliau The Great Theft, Khaled Abou El Fadl menceritakan tentang kejadian di Arab Saudi, yang berlaku pada pertengahan bulan Mac 2002, di mana sekumpulan murid perempuan di sebuah sekolah awam terbunuh sewaktu terperangkap di dalam bangunan sekolah yang sedang dijilat api kebakaran. Apa yang lebih menyedihkan ialah, menurut Abou El Fadl, pintu-pintu sekolah tersebut telah dikunci dari luar oleh sekumpulan polis agama Saudi yang menghalang dengan kekerasan segala upaya dan cubaan untuk menyelamatkan murid-murid berkenaan. Penjelasan yang diberi atas perbuatan mereka ialah disebabkan murid-murid perempuan tersebut tidak menutup aurat – bermaksud mereka tidak mengenakan hijab serta niqab mereka pada waktu itu – dan juga buat mengelakkan sentuhan fizikal di antara pasukan penyelamat dengan murid-murid perempuan terlibat.
Dari peristiwa di atas, kita dapat melihat masalah yang timbul, malah yang menjurus kepada pembunuhan nyawa-nyawa yang tidak bersalah, apabila manusia bertindak atas dasar dan pengaruh fahaman yang parokial. Di dalam benak pasukan polis agama Saudi tersebut, hanya satu kekhawatiran yang harus difikirkan, iaitu muka dan rambut murid-murid perempuan itu – yang terperangkap di dalam bangunan yang sedang dijilat api – tidak seharusnya kelihatan di tempat awam. Pada mereka, penutupan aurat itu lebih penting dari menyelamatkan nyawa yang sedang dalam bahaya. Demikian akibatnya apabila fikiran dikuasai oleh ketidaksadaran yang sentiasa berlegar di lubuk hati.
Seperti yang telah disebutkan di atas, kuasa dan pengaruh luaran termasuk media awam seperti akhbar bertanggungjawab dalam memainkan peranan membentuk ketidaksadaran sedemikian, selain membentuk minda serta pemikiran seseorang malahan sebuah masyarakat. Memang kita tidak boleh menafikan pentingnya peranan akhbar dalam menyampaikan berita serta informasi buat membina pengetahuan kita terhadap segala perihal di sekeliling kita secara dasar harian. Namun, ini tidak bererti kita harus menerima dan mengkonsumsi segala apa yang dilaporkan oleh mereka secara membabi-buta dan tidak kritis (uncritical). Akal yang dikurniakan Tuhan kepada manusia membedakan kita dari kaum haiwan. Dengan akal, kita berkemampuan berfikiran kritis terhadap segala apa pengetahuan atau informasi yang disampaikan kepada kita. Seperti yang ditulis oleh Syed Hussein Alatas, ‘Jangan kita jijik pada perkataan akal, seolah-olah akal bertentangan dengan wahyu. Akallah yang membedakan hadis palsu dari hadis benar… fikiran buntu dari fikiran maju, pendapat sesat dari pendapat tepat.’
Merujuk kepada komentar yang ditulis oleh wartawan kita tadi, pembacaan yang kritis akan membolehkan kita mengesan ideologi di sebalik penulisan beliau. Jika disoal, kemungkinan besar beliau tidak akan bersetuju malah akan menafikan dirinya sebagai seorang yang cauvinis. Malah saya percaya tidak akan ada seorang lelaki yang akan mengaku dirinya sedemikian. Ramai yang akan mengatakan kaum wanita harus dihormati, disanjungi, disayangi dan selainnya lagi yang pada umumnya bersifat bahaduri (chivalrous), seperti yang dikatakan oleh Helen Keller. Namun pernyataan-pernyataan tersebut barangkali hanya hadir di tingkatan sadar. Pada tingkatan tidaksadar, masih ramai yang menganggap serta mempercirikan kaum wanita sebagai satu kaum yang lemah dan serba kekurangan, yang harus patuh dan tunduk pada supremasi kaum lelaki. Amat sukar untuk seseorang yang didorong oleh ketidaksadaran sedemikian mengakui serta menganggap kaum wanita sebagai kaum yang mandiri (autonomous and independent). Seorang isteri harus disayangi, dibelai, dihormati – pada masa yang sama beliau juga wajib patuh dan taat pada suami. Bahkan apa yang diajarkan di merata kelas-kelas agama, di setiap ceramah dan syarahan, dan juga di kaca televisyen melalui drama dan filem, ialah syurga isteri itu terletak di kaki suami. Maka apabila isteri menderhakai suami, beliau tidak akan dapat mencium pun bau syurga. Ajaran dan pesanan yang bermasalah sebegini jarang dipersoalkan, oleh kerana kepercayaan mutlak terhadap yang berbicara sebagai otoritas dalam bidang yang dibicarakan. Di sini juga kita dapat melihat peranan asatizah serta penulis dan penerbit media dalam membentuk dan mempengaruhi pemikiran masyarakat.
Secara terus terang, saya masih terasa amat terganggu dengan penulisan wartawan kita yang saya sebutkan tadi. Menggunakan otoritas Nabi buat melegitimasikan pandangan partiarkis beliau ternyata tidak bertanggungjawab. Nabi telah diutuskan Tuhan untuk membebaskan masyarakat di kota Makkah pada waktu itu dari segala bentuk penindasan dan ketidakadilan dengan membasmikan segala praktik jahiliyah Arab yang tidak berperikemanusiaan, seperti menanam hidup-hidup bayi perempuan yang baru dilahirkan. Pada pendapat saya, perbuatan jahil sedemikian tiada bezanya, malah tiada tandingannya, dengan pemikiran jahil yang sedang tersebar luas pada hari ini melalui agensi-agensi luaran yang telah disebutkan di atas. Sedang Nabi telah berhasil menghapuskan praktik jahiliyah pembunuhan bayi perempuan, kita pula terjebak dengan pembunuhan jiwa kaum wanita dalam masyarakat kita.
Muhammed Shahril Shaik Abdullah
Singapura
Rabu, 21 Disember 2011
2:05 pagi